JASIN: Sekolah Harapan semalam menerima kumpulan pertama lima pelajar hamil luar nikah, dengan empat daripada mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November dan Disember ini.
Pengerusi sekolah itu, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, berkata keempat-empat pelajar terbabit masing-masing berusia 17 tahun, termasuk seorang daripadanya berbangsa Cina itu kini sedang mengandung enam bulan. Beliau berkata, kehadiran semua pelajar yang mendaftar di sekolah yang terletak di Jalan Pegawai itu juga atas usaha ibu bapa masing-masing, termasuk pelajar yang datang secara sukarela. “Lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu menjadi kumpulan pertama mendaftar ke sekolah yang dibangunkan khas kerajaan negeri untuk menempatkan pelajar hamil luar nikah.
“Empat daripada mereka bersekolah dalam Tingkatan Lima dan akan menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi, manakala seorang lagi dalam Tingkatan Empat masing-masing berasal dari negeri ini, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Saya juga menerima pertanyaan menerusi telefon daripada empat keluarga lagi yang mahu maklumat lanjut untuk memasukinya,” katanya ketika ditemui di sekolah itu di sini, semalam.
Tinjauan Berita Harian ke sekolah itu mendapati, satu keluarga Cina dari Segamat, Johor sudah berada di sekolah berkenaan kira-kira jam 11 pagi, bagaimanapun enggan ditemu bual.
Sekolah Harapan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000 itu mempunyai empat kelas dan masing-masing sebuah bilik komputer, bilik mesyuarat dan pejabat pentadbiran.
Setakat ini, sekolah yang mendapat peruntukan RM500,000 setahun dari kerajaan negeri dan mampu menempatkan 40 pelajar itu mempunyai lima kakitangan termasuk seorang penyelia, manakala tujuh tenaga pengajarnya pula di kalangan pegawai terlatih Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Ab Rahaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor berkata, kerajaan negeri turut meningkatkan kawalan keselamatan sekolah itu bagi memastikan kehidupan pelajarnya terjamin dan selesa.
“Dari segi kedatangan pelawat, kita akan mengenakan peraturan yang ketat iaitu hanya keluarga terdekat pelajar yang direkodkan saja dibenarkan memasuki ke sekolah ini,” katanya.
Sementara itu, ibu seorang pelajarnya yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau menghantar anaknya berusia 17 tahun ke situ kerana yakin penubuhan sekolah terbabit mampu memberi perlindungan dan bimbingan untuk remaja bermasalah mendapat didikan rohani.


No comments:
Post a Comment